Utama Tatabahasa Karanagn Ringkasan Rumusan Komsas
Selamat Datang Ke Laman Blog Mazlie...Semoga Anda Mendapat Manfaat

Sunday, October 23, 2011

Seni Warisan Melayu


Sungguhpun pada era moden ini keris tidak lagi dikaitkan dengan unsur kekayaan dan kekuasaan, sesetengah masyarakat di Nusantara tetap menghubungkannya dengan kuasa magis yang penuh misteri. Keris dianggap memiliki tenaga spirituil dan mampu melindungi pemiliknya daripada bahaya dan malapetaka. Terdapat sembilan jenis keris yang dipercayai pernah wujud di Nusantara, iaitu keris Semenanjung, keris Bugis, keris Jawa, keris Sumatera, keris Madura, keris Patani, keris Bali, keris sajen, dan keris picit. Jenis keris ini dikenal pasti berdasarkan bentuk mata, hulu, dan sarung keris.


Keunggulan keris dapat dilihat daripada pamor atau corak yang terdapat pada bilah mata keris selain kualiti logam yang digunakan untuk menempanya. Pamor dikatakan mempunyai daya magis yang tinggi dan mampu mempengaruhi kehidupan pemiliknya. Pamor ini selalunya berbeza-beza antara keris bergantung pada darjat seseorang itu, sama ada pemiliknya itu terdiri daripada golongan raja, pahlawan, atau rakyat biasa. Mengikut tradisi, keris merupakan senjata keramat yang harus dihormati. Oleh hal yang demikian, keris perlu dicuci atau dimandikan untuk menjaga kebersihan dan “kuasa” yang terdapat pada keris tersebut. Proses mencuci keris ini yang juga dikenali sebagai melangir atau sintuk limau dilakukan secara tradisional menggunakan batang pisang, air kelapa muda, mengkudu, nanas, limau nipis, daun pandan, dan bunga-bungaan yang berbau wangi. Proses ini mestilah dilakukan oleh orang yang berpengalaman supaya bilah mata keris tidak rosak kerana bahan-bahan yang digunakan mempunyai kandungan asid yang tinggi.


Sementara itu, kemenyan pula digunakan untuk mewangikan bilah mata keris tersebut. Selain sebagai senjata, keris juga sering digunakan dalam persembahan seni tari seperti tarian joget dan gamelan. Tarian seperti ini ditarikan oleh penari wanita khususnya dalam majlis keramaian yang diadakan di istana untuk menyambut perayaan dan acara diraja. Penggunaan keris juga dapat dilihat dalam tarian Makyung dan tarian Joget Parang Selinan. Masyarakat Melayu tradisional juga menganggap keris sebagai pakaian pelengkap adat. Orang Melayu tanpa memakai sebilah keris boleh diumpamakan seperti manusia tiada berpakaian. Kini, fungsi keris dalam masyarakat Melayu lebih tertumpu pada nilai estetika dan sekali gus sebagai lambang warisan bangsa Melayu.

No comments:

Post a Comment